Fine Academy

FINE GROUP OF ACADEMIES ataupun lebih dikenali dengan FINE Academy adalah sebuah gerakan hasil gabungan idea, pemikiran dan kepakaran para pengamal industri, pejuang dan pemerkasa ummah yang bersatu atas satu ikatan hati dan suara. Kumpulan ini mempunyai misi sama iaitu berjuang membangunkan masyarakat dengan ilmu dan kemahiran mengikut trend terkini industri untuk membangunkan masyarakat berjiwa besar dan berminda positif.

Kumpulan ini amat yakin dan percaya bahawa setiap insan dilahirkan dengan potensi dan bakat tersendiri. Keistimewaan yang sentiasa berada di dalam diri ini kadangkala terpendam disebabkan individu terlampau fokus kepada perkara yang menenggelamkan potensi itu. Sikap suka melihat kelemahan diri, kelemahan orang dan kelemahan masyarakat menyebabkan mereka ini terlupa untuk membangunkan kekuatan yang ada dalam diri. Setiap individu sentiasa diberikan pilihan sama ada mahu fokus kepada kelemahan ataupun kekuatan. Sama ada individu merasakan mahu memperbaiki kelemahan diri atau memperkukuh kekuatan ia adalah perkara yang positif bagi membangkitkan kuasa terpendam di dalam diri.

Semangat dan roh perjuangan ini diterjemahkan ke dalam bentuk penghasilan modul latihan dan program yang direka bentuk khusus bagi menggilap dan mencungkil potensi serta bakal terpendam bagi memacu kejayaan dalam hidup sebagai seorang pekerja, ayah, ibu, anak dan hamba kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Keunikan FINE Academy

FINE Academy diwujudkan oleh para individu yang bukan daripada latar belakang pembangunan diri dan motivasi. Kesemua mereka memulakan kerjaya dalam bidang masing-masing. Mereka menimba pelbagai pengalaman selama berada dalam industri kemudian diterjemahkan ke dalam bentuk pengisian modul dan perkhidmatan untuk dikongsikan dengan masyarakat. Ada di antara mereka masih lagi berada di dalam industri dan ada yang sudah menjadi jurulatih dan perunding sepenuh masa.

FINE Academy sudah bertapak sejak tahun 2009 dan beroperasi di pejabat urusannya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Ia melebarkan sayapnya ke Zon Selatan dan Timur dengan pengwujudan pejabat satelitnya di Kulaijaya, Johor dan Kota Bharu, Kelantan. Sehingga sekarang FINE Academy menjadi pilihan organisasi utama di Malaysia untuk mengendalikan kursus berkaitan pembangunan diri, komunikasi, penulisan, pemantapan pentadbiran organisasi, penampilan diri dan juga kreativiti serta inovasi.

FINE Academy memberikan perkhidmatan dalam bentuk latihan pembangunan diri dan kemahiran, coaching dan pementoran serta perundingan. Tahun 2014, FINE Academy ke hadapan dengan memperkenalkan 8 produk latihan dan perundingan yang dapat diperoleh maklumatnya melalui laman web ini. Ada yang sudah dimulakan sekian lama dan diberikan nafas baru, selebihnya dalam proses pembangunan secara organik bertahap-tahap.